Habibah, Nora tawar diri tanding Ketua, Naib Ketua Wanita Jelebu KENYATAAN AKHBAR PENUH HABIBAH HARUN & NORA SALLEH PADA 26 JUN 2008 Kami, HABIBAH BINTI HARUN (Naib Ketua Wanita UMNO Bahagian Jelebu dan Ketua Wanita UMNO Cawangan Durian Tipus) dan NORA BINTI SALLEH (Bendahari Wanita UMNO Bahagian Jelebu dan Naib Ketua Wanita UMNO Cawangan Larong), dengan ini mengumumkan menawarkan diri bertanding jawatan Ketua dan Naib Ketua Wanita UMNO Bahagian Jelebu bagi penggal 2008/2011 pada pemilihan yang dijadualkan pada Oktober/November ini. Keputusan ini dibuat sendiri tanpa dipengaruhi, tanpa desakan dan tanpa ditaja oleh mana-mana pihak, sebaliknya atas kesedaran mahu berkhidmat dan berbakti dengan lebih berkesan kepada parti dan ahli-ahli Wanita UMNO Jelebu. Pertimbangan kami juga dibuat selepas mengambil kira bahawa penyandang Ketua Wanita UMNO Bahagian Jelebu sekarang, HAJAH NORIAH MUSA (+6013.3368579) telah secara rasmi menyatakan keputusan beliau untuk tidak mempertahankan jawatan pada pemilihan kali ini. Kami berdua merakam ucapan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih atas perkhidmatan cemerlang beliau sepanjang memimpin Wanita UMNO Jelebu. Sebelum memuktamadkan keputusan ini, kami juga berbincang dan mendapat pandangan serta nasihat daripada rakan-rakan dalam Wanita UMNO Bahagian, pimpinan Wanita UMNO di cawangan-cawangan serta ahli-ahli akar umbi. Maka, atas dasar menghormati pandangan rakan-rakan, hari ini dengan rasa rendah diri kami tampil membuat pengumuman penawaran diri ini. Dengan ini, kami juga ingin menyatakan sokongan penuh kepada YB Dato’ Yunus Rahmat (Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jelebu, Ahli Exco Kerajaan N. Sembilan dan ADUN Klawang) untuk bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Jelebu; dan YB Dato’ Razak Mansor (Speaker Dewan Undangan Negeri, N. Sembilan dan ADUN Pertang) untuk bertanding jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jelebu. Ingin ditegaskan, pengumuman kami menawarkan diri bertanding Ketua dan Naib Ketua Wanita UMNO Bahagian Jelebu dan juga sokongan kami kepada YB Dato’ Yunus dan YB Dato’ Razak adalah atas prinsip menegak dan memurnikan amalan demokrasi serta semangat pertandingan sihat dalam UMNO, khususnya di Jelebu. Sehubungan itu, kami sangat mengharapkan sokongan daripada rakan-rakan pimpinan dan juga ahli-ahli Wanita UMNO Bahagian Jelebu. Salam hormat. Hidup Melayu, Hidup Wanita HABIBAH HARUN NORA SALLEH +6019.271 3811 +6012.387 2997
Dikeluarkan: 26 Jun 2008
|