Azham, Ir. Hazimi tawar diri tanding Ketua, Naib Ketua Pemuda KENYATAAN AKHBAR PENUH AZHAM MOHAMAD RAOS & IR. MOHD. HAZIMI MAK TAPIN PADA 4 JUN 2008 Kami, AZHAM MOHAMAD RAOS (AJK Pemuda UMNO Bahagian Jelebu sekarang dan juga Ketua Pemuda UMNO Cawangan Ulu Klawang) dan HAJI Ir. HAZIMI MAK TAPIN (Ahli UMNO Cawangan Kampung Kerangai) dengan ini mengumumkan ingin menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Pemuda dan Naib Ketua UMNO Bahagian Jelebu bagi penggal 2008/2011 pada pemilihan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Jelebu yang dijadualkan antara Oktober dan November ini. Keputusan kami ini dibuat atas kesedaran sendiri tanpa dipengaruhi, desakan atau tajaan mana-mana pihak sebaliknya mahu menyumbang khidmat dan bakti kepada parti dan ahli-ahli Pemuda UMNO di Jelebu dengan misi “Ke Arah Mengimarah dan Menghidupkan Pergerakan Pemuda UMNO Jelebu”. Namun, sebelum memuktamadkan hasrat ini dan sebelum menzahirkan pengumuman ini, kami berdua telah berbincang dan mendapat pandangan serta nasihat daripada rakan-rakan dalam Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian dan juga pimpinan Pemuda UMNO di cawangan-cawangan. Atas semangat musyawarah dan menghormati sokongan daripada rakan-rakan dalam Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian dan cawangan-cawangan di Jelebu yang benar-benar mahukan perubahan dilakukan terutama dalam memperbanyakkan aktiviti untuk ahli-ahli dan generasi muda serta merancang program-program memantapkan jentera parti, maka dengan rasa rendah diri kami tampil membuat pengumuman penawaran diri ini. Pada masa yang sama, dengan ini kami juga ingin mengumumkan sokongan penuh kepada YB Dato’ Yunus Rahmat (Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jelebu, Ahli Exco Kerajaan N. Sembilan dan ADUN Klawang) untuk bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Jelebu. Kami juga menyokong penuh YB Dato’ Razak Mansor (Speaker Dewan Undangan Negeri, N. Sembilan dan ADUN Pertang) untuk bertanding jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian serta seorang lagi calon yang akan dinamakan tidak lama dari DUN Sungai Lui untuk jawatan Naib Ketua UMNO Bahagian. Pengumuman kami berdua bertanding ini dan juga sokongan kepada YB Dato’ Yunus dan YB Dato’ Razak adalah atas prinsip menegakkan dan memurnikan demokrasi serta pertandingan sihat dalam UMNO khususnya di Jelebu. Sehubungan itu, kami berharap rakan-rakan pimpinan dan ahli Pergerakan Pemuda UMNO di Bahagian Jelebu akan memberi sokongan kepada kami. AZHAM: “Saya yakin dengan pengalaman saya sebagai AJK Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Jelebu sejak tahun 2001 dan kerjasama erat daripada Saudara Haji Ir. Mohd. Hazimi, iaitu seorang usahawan muda profesional dan berjaya di Negeri Sembilan serta banyak membantu Pemuda UMNO Jelebu selama ini khususnya di beberapa cawangan di samping sokongan pad
u dan jitu daripada rakan-rakan pimpinan dan ahli Pemuda Bahagian serta cawangan-cawangan, insya-Allah kami mampu mencapai harapan yang dikongsi bersama iaitu Ke Arah Mengimarah dan Menghidupkan Pergerakan Pemuda UMNO Jelebu. Saya ingin jelaskan bahawa saya bergandingan dengan Saudara Haji Ir. Hazimi kerana ingin mendekatkan pergerakan ini kembali kepada golongan profesional yang selama ini semakin ramai menjauhkan diri.” HAJI Ir. MOHD. HAZIMI: “Menyedari kedudukan saya sebagai orang baru di dalam Pergerakan Pemuda UMNO di peringkat Bahagian Jelebu kecuali di Cawangan Kampung Kerangai, saya berharap rakan-rakan akan memberi sokongan dan tunjuk ajar kepada saya dalam usaha merealisasikan matlamat kita mahu melihat politik Pergerakan Pemuda UMNO kembali subur di Jelebu. Kami bukannya mahu merebut kuasa tetapi mudah-mudahan dengan izin Allah s.w.t. serta atas kesedaran, keinsafan dan iltizam yang kuat Ke Arah Mengimarah dan Menghidupkan Pergerakan Pemuda UMNO Jelebu, maka matlamat kita insya-Allah akan tercapai. Harapan saya, mari kita bersatu padu untuk mengembalikan kegemilangan Pergerakan Pemuda UMNO Jelebu.” Salam hormat. Hidup Melayu, Hidup Pemuda AZHAM MOHAMAD RAOS HAJI Ir. MOHD. HAZIMI MAK TAPIN +6019.204 7071 +6016.322 8397 Dikeluarkan: 4 Jun 2008
|