Dato' Razak umum bertanding, sokong Dato' Yunus ketua 

PADA hari ini 6 Jun 2008, saya dengan ini ingin mengumumkan secara rasminya mengenai hasrat saya untuk menawarkan diri bertanding jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jelebu bagi penggal 2008/2011 pada pemilihan yang dijadualkan dari 9 Oktober hingga 9 November ini.

Saya memilih bertanding jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian disebabkan bakal berlakunya kekosongan ekoran keputusan dan pengumuman YB Dato’ Yunus Rahmat selaku penyandang sekarang, untuk bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Jelebu pada pemilihan kali ini.

Ingin ditegaskan bahawa keputusan saya ini adalah keputusan peribadi yang tidak dipengaruhi, didesak atau ditaja oleh sesiapa sebaliknya atas kesedaran mahu menyumbang bakti secara lebih berkesan dalam UMNO Bahagian Jelebu di samping atas dasar hak demokrasi seseorang ahli untuk bertanding sebarang jawatan dalam parti.

Selain itu, keputusan saya ini juga didorong oleh kehendak pimpinan Bahagian dan Cawangan-Cawangan serta ahli-ahli di Jelebu yang memberi sokongan, pandangan dan nasihat kepada saya untuk bertanding jawatan berkenaan.

Pada masa yang sama, saya juga ingin menyatakan sokongan penuh saya kepada YB Dato’ Yunus Rahmat untuk bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Jelebu pada pemilihan kali ini.

Saya berkeyakinan, jika gandingan kami berdua diberi peluang untuk menerajui UMNO Bahagian Jelebu, di samping sokongan dan kerjasama daripada rakan-rakan pimpinan Bahagian dan Cawangan-Cawangan, insya-Allah kami mampu membawa perubahan yang diingin-inginkan di dalam UMNO Bahagian Jelebu terutama dalam usaha menyatupadukan ahli-ahli.

Pada masa yang sama, saya dan rakan-rakan pimpinan serta ahli-ahli di Jelebu juga ingin menyatakan sokongan penuh terhadap pengumuman YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan untuk bertanding jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan parti hujung tahun ini.

Kami juga menyatakan komitmen untuk membantu YAB Menteri Besar iaitu tentang kesediaan kami di Jelebu untuk menjelajah ke seluruh negara bagi menjelaskan kepada pimpinan dan ahli-ahli tentang rasional dan keperluan beliau bertanding jawatan Naib Presiden tersebut.

Akhir sekali, saya bersyukur ke hadrat Allah s.w.t. dan mengucapkan terima kasih atas sokongan dan kepercayaan daripada rakan-rakan pimpinan dan ahli-ahli akar umbi kepada kami untuk menawarkan diri bertanding jawatan Ketua dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jelebu bagi penggal 2008/2011. Salam perjuangan.

Hidup UMNO, Hidup Melayu

 

YB DATO’ RAZAK MANSOR

• Speaker Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan
• ADUN Pertang
• AJK UMNO Bahagian Jelebu
• Bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), Negeri Sembilan


Dikeluarkan: 6 Jun 2008

 

Nama:
Telefon:

  ©