Sokong Dato' Razak tanding Timbalan Ketua
Dato' Yunus sah tanding Ketua UMNO Bahagian

KENYATAAN AKHBAR PENUH YB DATO' YUNUS RAHMAT PADA 3 JUN 2008

 DENGAN rasa penuh rendah diri, pada hari ini 3 Jun 2008, saya ingin mengumumkan dengan rasminya hasrat untuk menawarkan diri bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Jelebu bagi penggal 2008/2011 pada pemilihan yang dijadualkan dari 9 Oktober hingga 9 November ini.

Keputusan saya ini tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak sebaliknya atas kesedaran sendiri yang mahu berkhidmat dan menabur jasa dengan lebih berkesan kepada rakyat khususnya di Jelebu, menerusi parti UMNO. Saya juga membuat keputusan ini setelah menerima pandangan, maklum balas dan nasihat rakan-rakan dalam UMNO Bahagian Jelebu di samping menerima sokongan ahli-ahli dan pimpinan UMNO peringkat Cawangan.

Pada masa yang sama, saya ingin menyatakan sokongan penuh saya dan rakan-rakan di UMNO Bahagian dan Cawangan-Cawangan kepada YB Dato’ Razak Mansor, Speaker Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Pertang untuk bertanding jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jelebu.

Jika diberi mandat dan kepercayaan oleh rakan-rakan ahli-ahli UMNO Bahagian Jelebu, gandingan kami berdua bersama-sama seorang lagi calon dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lui untuk jawatan Naib Ketua UMNO Bahagian Jelebu, insya-Allah kami akan melaksanakan amanah yang diberi untuk memantapkan UMNO Bahagian dan juga memakmurkan politik di Jelebu.

Untuk makluman, seorang calon bagi jawatan Naib Ketua UMNO Bahagian Jelebu yang dinamakan sendiri oleh suara majoriti ahli-ahli di DUN Sungai Lui, akan membuat kenyataan rasmi berhubung tawaran bertanding jawatan berkenaan dalam masa terdekat ini.

Menerusi amanat dan kepercayaan tersebut, kami juga telah memahatkan tekad yang jitu mahu membawa perubahan yang sangat diinginkan dan ditunggu-tunggu oleh ahli-ahli terutama di peringkat akar umbi pada masa ini iaitu untuk menyatupadukan ahli-ahli dan pimpinan dalam UMNO Bahagian Jelebu.

Di samping itu, saya dan YB Dato’ Razak Mansor serta bakal calon Naib Ketua UMNO Bahagian berk ongsi misi yang sangat jelas iaitu mahu memastikan UMNO Bahagian Jelebu selepas ini kembali ditadbir dengan prinsip “bekerja sebagai satu pasukan”, bermusyawarah, berteraskan suara akar umbi dan selari dengan lunas-lunas ditetapkan oleh Badan Perhubungan UMNO Negeri serta Ibu Pejabat UMNO bukannya diuruskan oleh satu atau dua individu semata-mata.

Saya sendiri yakin, dengan pengalaman sebagai Bekas Ahli Parlimen Jelebu dan Bekas Ketua UMNO Bahagian Jelebu, maka jika diberi kepercayaan dan kerjasama serta sokongan rakan-rakan pimpinan dan ahli-ahli, insya-Allah saya mampu membawa perubahan yang diinginkan oleh ahli-ahli akar umbi di Jelebu.

Sebagai menghormati kedudukan Badan Perhubungan UMNO Negeri sebagai organisasi induk bagi parti UMNO di Negeri Sembilan, saya dan YB Dato’ Razak Mansor telah pun memaklumkan hasrat kami kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan.

Saya dan YB Dato’ Razak Mansor bersyukur ke hadrat Allah s.w.t. dan mengucapkan terima kasih atas sokongan dan kepercayaan daripada rakan-rakan pimpinan dan ahli-ahli akar umbi kepada kami untuk menawarkan diri bertanding jawatan Ketua dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jelebu bagi penggal 2008/2011. Salam perjuangan.

Hidup UMNO, Hidup Melayu

 


YB DATO’ YUNUS RAHMAT

• Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), Negeri Sembilan
• Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Industri Asas Tani,
Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Sembilan
• Ahli Dewan Undangan Negeri N.04 Klawang
• Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jelebu
• Bekas Ketua UMNO Bahagian Jelebu (1998-2001)
• Bekas Ahli Parlimen Jelebu (1995-1999)

Dikeluarkan: 3 Jun 2008

• Klik sini jika ingin membaca Wawasan Dato' Yunus Rahmat selepas menang kerusi DUN Klawang pada PRU12

 

 

Nama:
Telefon:

  ©