|
|
 |
KENYATAAN AKHBAR Tarikh: 08 April 2008 Kemudahan aduan SMS ADUN04 32324 dapat sambutan menggalakkan SEREMBAN: Sejak kemudahan menghantar maklumat serta aduan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada saya menerusi nombor ringkas 32324 disediakan kepada penduduk Klawang khususnya dan rakyat Negeri Sembilan amnya, pada 27 Mac lalu, sambutan terhadap perkhidmatan itu sangat menggalakkan. Saya mendapati sebahagian besar daripada ratusan pengirim SMS yang diterima menyatakan perasaan begitu selesa dan mengalu-alukan perkhidmatan yang disediakan. Saya percaya reaksi positif daripada orang ramai terhadap kemudahan ini selaras dengan harapan YAB Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Mohamad Hassan yang mahu supaya setiap wakil rakyat mendekatkan diri dengan orang ramai dan mempermudah segala urusan dengan rakyat. Di samping ucapan-ucapan tahniah, saya juga menerima pelbagai aduan dan cadangan daripada para pengirim SMS. Antaranya ialah aduan mengenai tanah runtuh, jalan sempit, gangguan binatang termasuk kera terhadap tanam-tanaman, kawasan semak berbahaya, harga barangan di pasar dan kedai-kedai mahal, kerenah birokrasi jabatan kerajaan, ketiadaan lampu jalan, bekalan air sering terputus, jambatan uzur dan memohon balai polis baru serta banyak lagi. Saya turut menerima SMS daripada pengirim yang memohon bantuan untuk memulakan projek pertanian, membesarkan kolam ikan, membina kandang haiwan ternakan, bantuan pagar kebun, bantuan baja atau benih pokok, bantuan membeli mesin pemerosesan santan untuk perniagaan lemang dan bantuan sebagai mangsa banjir. Salah satu SMS diterima daripada seorang orang kurang upaya (OKU) yang memohon untuk mendapatkan bantuan untuk memulakan penanaman kelapa pandan dan juga pisang. Secara spesifik terhadap SMS OKU ini, saya telah mengarahkan Jabatan Pertanian Negeri supaya membantu pengirim SMS berkenaan. SMS lain ialah permohonan bantuan melanjutkan pelajaran, memulakan perniagaan dan memohon sumbangan untuk mengadakan rombongan. Selain itu, bagi masalah penduduk Klawang, masalah atau aduan
paling banyak diterima ialah mengenai kemudahan bas awam yang tidak efisien bagi laluan Kuala Klawang-Simpang Pertang-Kuala Pilah yang telah menyusahkan rakyat menjalani urusan harian. Bagi kes ini, saya sendiri telah memaklumkan masalah ini kepada YAB Menteri Besar dalam mesyuarat Exco baru-baru ini dan Kerajaan Negeri Sembilan berjanji akan berusaha membantu mengatasi masalah itu. Kemudahan ini juga digunakan oleh orang ramai untuk membuat temu janji dengan saya atau menjemput saya merasmikan sesuatu majlis atau menghadiri sesuatu program anjuran mereka, sekali gus tentunya memudahkan mereka yang sebelum ini terpaksa datang sendiri ke pejabat wakil rakyat untuk menguruskannya. Dalam kesempatan ini, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pengirim SMS terlibat yang tidak putus-putus menghantar SMS menggunakan kemudahan nombor ringkas 32324. Untuk pengetahuan, sebahagian besar aduan yang dikemukakan oleh pengirim SMS tersebut telah pun diambil tindakan. Saya sendiri telah meminta pengarah-pengarah jabatan yang berkaitan untuk menghubungi sendiri pengirim SMS atau pengadu untuk membantu menyelesaikan masalah mereka. Bagi kes-kes tertentu, tindakan telah diambil untuk menghantar segera pegawai ke tempat masalah berlaku. Bagi masalah-masalah atau aduan yang belum diambil tindakan atau susulan, saya berharap mereka bersabar sementara menunggu jabatan atau agensi berkaitan mengambil tindakan sewajarnya. Sekali lagi, saya mengalu-alukan penduduk di DUN Klawang yang mempunyai sebarang masalah atau rakyat Negeri Sembilan yang mempunyai masalah berkaitan pertanian, koperasi dan bidang usahawan untuk menggunakan kemudahan terbaru ini. Caranya ialah dengan menaip ADUN04 diikuti nama pengirim dan kemudian hantar SMS tersebut ke 32324. Contoh: ADUN04 Bakar SKUJ Kami ingin menjemput Dato merasmikan mesyuarat PIBG sekolah. SMS itu kemudian dihantar ke 32324. Pada masa yang sama, saya ingin menjelaskan bahawa selain menyalurkan maklumat atau aduan menerusi kemudahan SMS, penduduk Klawang mahu pun orang ramai juga masih boleh mengadakan temu janji dan berjumpa dengan saya secara bersemuka di pejabat ADUN di No. 6, Jalan Dato’ Menteri, 71600 Kuala Klawang, Jelebu atau pejabat Ahli Exco di Tingkat 3, Wisma Negeri, Seremban. Akhir sekali, saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menyokong perkhidmatan SMS aduan ini, semoga ia terus dimanfaatkan oleh rakyat demi kepentingan bersama. Wassalam. YB Dato’ Yunus Rahmat • Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Negeri Sembilan • Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Koperasi dan Usahawan Negeri Sembilan • Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klawang 08 April 2008 |
|
|
|