Saya mengucapkan tahniah dan terima kasih atas penyediaan dan pelancaran laman web Gerbang Klawang.com ini sebagai suatu pusat sumber maklumat dan direktori yang sangat berguna untuk rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Klawang khususnya dan daerah Jelebu amnya.
Penyediaan laman web yang mengaplikasikan pelbagai medium teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) ini tentunya menjadi kebanggaan bukan saja kepada saya sebagai Ahli Dewan Undangan (ADUN) Negeri Klawang malah seluruh penduduk di DUN Klawang dan daerah Jelebu.
Ketika era ledakan maklumat dan dunia tanpa sempadan ini, saya percaya kesedaran rakyat supaya turut serta menggunakan kemudahan-kemudahan berkaitan yang muncul daripada teknologi-teknologi terbaru dalam kehidupan seharian di samping untuk mencari maklumat dan ilmu.
Syabas juga kepada Gerbang Klawang.com yang menyediakan pelbagai kemudahan penghantaran maklumat atau aduan di dalam laman web ini termasuklah e-aduan yang membolehkan pelawat menghantar aduan dalam masa sebenar (real time) dan dipaparkan di laman web ini dalam waktu sama. Sudah tentu setiap mesej dan aduan yang dihantar akan diambil tindakan serta perhatian.
Selain itu, kemudahan SMS yang ditawarkan juga menjadi satu lagi cabang medium penyaluran maklumat yang mesra pengguna dan mudah. Saya juga mengalu-alukan pelancaran Kelab Klawang yang mana terbahagi pula kepada beberapa kelab mewakili kategori minat rakyat di Jelebu terutama remaja dan belia. Manakala maklumat-maklumat penting mengenai DUN Klawang dan daerah Jelebu serta para pemimpinnya juga sesuatu yang sangat berguna kepada orang ramai termasuk info agama, pelancongan dan sebagainya.
Sebagai ADUN Klawang, saya mengharapkan agar kemudahan dan maklumat-maklumat yang terdapat dalam Gerbang Klawang.com ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat, selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri Sembilan mahu melihat rakyat celik ICT dan juga mengambil bahagian dalam penyaluran maklumat serta idea dalam usaha membangunan kawasan.
Salam. DATO' YUNUS RAHMAT (D.S.N.S., D.M.S.M., K.M.N., P.J.K., J.P) Ahli Dewan Undangan Negeri N.04 Klawang Merangkap Ahli Exco Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan. |