BEBERAPA minggu selepas beliau memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.04 Klawang dalam Pilihan Raya UMUM Ke-12 pada 7 Mac 2008, Gerbang Klawang.com telah berkesempatan menemui YB DATO' YUNUS RAHMAT untuk mengenalinya dengan lebih dekat dan juga mengetahui wawasannya setelah menjadi wakil rakyat.
   Sepanjang pertemuan tidak formal di rumahnya di Taman Chempaka, Kuala Klawang itu, YB kelihatan masih cergas walaupun telah dua minggu menghabiskan masa untuk berkempen bagi memastikan Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi DUN Klawang. Dari kelopak matanya jelas nampak sedikit kuyu, mungkin kerana tidak cukup tidur. Apa tidaknya. Saban hari mengelilingi kawasan DUN Klawang untuk menemui pengundi dan menjelaskan mengapa mereka harus mengundi BN iaitu bagi meneruskan kesinambungan perjuangan pembelaan rakyat.
    Berkesempatan mengikuti beberapa acara kempen YB dalam tempoh pilihan raya umum itu, Gerbang Klawang.com sendiri melihat tahap kesibukan beliau yang begitu ketara. Sehinggakan makan dan minumnya tidak lagi mengikut jadual harian manakala keluarga di rumah pula jarang kali dijenguk, sekadar meninggalkan lambaian kepada mereka sambil memohon doa restu setiap kali mahu keluar rumah pada setiap pagi sepanjang tempoh berkempen.
    Habis berkempen pula bukan bermaksud rutin hariannya ketika itu tamat. Sebaliknya di rumah sehingga pukul 4 atau 5 pagi beliau masih melayani para pengundi atau rakyat jelata yang datang untuk menemuinya selain mengadakan mesyuarat dengan jentera pilihan raya DUN Klawang bagi memastikan kelancaran gerakan mereka.
    Pun begitu, dalam kunjungan Gerbang Klawang.com ke rumahnya ketika itu, YB meluangkan masa yang secukupnya untuk membolehkannya menjawab persoalan-persoalan yang dikemukakan. Berikut adalah petikan temu ramah tersebut yang berlangsung kira-kira pukul 12.30 tengah malam di ruang rehat di luar rumahnya yang mana sebahagian besar amanat YB ialah tentang misinya melihat perpaduan rakyat di DUN Klawang dan Jelebu.

GK.com: Tahniah Dato' atas kemenangan dalam pilihan raya baru-baru ini. Sujurus diisytiharkan sebagai pemenang sekali gus menjadi wakil rakyat baru bagi DUN Klawang, apakah yang terlintas di fikiran Dato' ketika itu?
DYR:
Terima kasih. Kemenangan saya ini bukanlah suatu kebanggaan peribadi tetapi ia lebih merupakan kejayaan kepada UMNO dan BN Jelebu yang mana ketika banyak kerusi BN yang kalah, DUN Klawang dapat kita pertahankan. Saya ucapkan terima kasih kepada pengundi yang sekali lagi memilih BN, tentunya ia dibuat atas kepercayaan bahawa BN mampu mewakili suara rakyat di DUN Klawang. Tentang apa yang bermain di fikiran saya setelah diumumkan sebagai wakil rakyat baru, sebenarnya tidak lain dan tidak bukan, ketika itu hanya terlintas kesyukuran kepada Allah s.w.t yang mengizinkan saya untuk dipilih sebagai wakil rakyat di DUN Klawang. Alhamdulillah, berkat doa para pengundi, jentera pilihan raya BN DUN Klawang, rakan-rakan, pimpinan serta ahli UMNO Bahagian Jelebu dan keluarga, Allah s.w.t makbulkan permintaan kita untuk terus melihat BN mendapat mandat memajukan DUN Klawang. Saya sentiasa berpegang, selagi Allah s.w.t merestui kerja kera s kita, maka tiada jalan untuk orang lain menolak kita.

GK.com: Dengan kemenangan ini, apakah pesanan Dato' kepada para pengundi dan rakyat di DUN Klawang?
DYR:
Alhamdulillah, nampaknya penduduk dan rakyat DUN Klawang masih bersatu dan tidak mudah menerima dakyah pihak lain yang cuba menafikan sumbangan BN selama ini. Saya ucapkan tahniah kepada para pengundi kerana membuat pilihan yang tepat dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 ini. Kepada semua saudara-saudaraku para pengundi sekalian, dengan rasa rendah diri saya ingin menegaskan bahawa saya menyedari bahawa pemilihan saya bermasuk anda semua telah memberi suatu amanah dan tanggungjawab yang besar kepada saya. Saya tidak melihat ini sebagai kebanggaan tetapi amanah untuk ditunaikan.
Rakyat telah meletakkan harapan dan kepercayaan kepada BN dan saya untuk memajukan DUN Klawang dan juga membela nasib rakyat, maka insya-Allah saya akan berusaha sedaya upaya untuk memenuhi tanggungjawab itu. Cuma, saya ingin merayu sekalian rakyat di DUN Klawang untuk turut sama memberi buah fikiran kepada saya dan juga maklumat-maklumat yang tepat berhubung masalah-masalah serta perancangan yang mahu dikemukakan. Dengan menolak buat sementara perbezaan politik kita, saya mengajak semua supaya bersama-samalah kita berganding bahu memajukan DUN Klawang kerana saya secara peribadi melihat betapa berpotensinya kawasan kita menjadi daerah yang maju, berdaya saing dan menjadi kawasan yang makmur untuk semua.

GK.com: Adakah Dato' bermaksud sanggup menerima sebarang pandangan dan kritikan dalam konteks ke arah amalan atau budaya ketelusan?
DYR:
Ya, itulah maksud saya. Ketelusan yang saya maksudkan ialah ketelusan menerima dan memberi pandangan. Saya percaya ramai di antara kita yang mempunyai idea-idea yang bernas. Salurkanlah idea-idea itu mengikut saluran yang betul. Kalau ada masalah, kemukakanlah dengan cara yang baik. Insya-Allah saya sedia menerima setiap pandangan. Jika setiap pandangan terbit dari hati yang tulus ikhlas mahu memakmurkan DUN Klawang, kenapa tidak saya menerima dan melaksanakannya?

 GK.com: Baru-baru ini, Dato' telah menyediakan kemudahan aduan yang paling mudah dan mesra rakyat iaitu hanya dengan menghantar SMS ke nombor 32324. Adakah ini sebahagian daripada budaya ketelusan dan keterbukaan yang Dato' nyatakan itu?
DYR:
Itulah salah satunya. Hanya beberapa minggu selepas BN dipilih oleh rakyat untuk kembali mewakili mereka di DUN Klawang, saya perkenalkan sistem aduan SMS ini. Caranya begitu mudah iaitu hanya dengan menaip ADUN04 diikuti nama kita dan kemudian disusuli mesej atau aduan yang hendak disampaikan, dan terus hantar kepada nombor 32324. Setiap mesej yang dihantar insya-Allah akan saya balas. Mungkin ada satu dua yang tak sampai sebab masalah teknikal tetapi kita boleh cuba lagi. Dan nampaknya sistem ini sangat efisien dan mendapat sambutan. Malah kebetulan saya dilantik sebagai Ahli Exco Kerajaan Negeri Sembilan, saya sendiri telah mengarahkan semua ketua jabatan di bawah fotfolio saya dan juga pegawai-pegawai di Jelebu supaya memastikan setiap aduan SMS ini diberi perhatian yang serius. Kita tidak mahu menjadi sekadar penyedia perkhidmatan aduan tetapi gagal menyelesaikan aduan-aduan yang diterima.
    Saya harap pegawai-pegawai kerajaan terbabit memahami aspirasi saya ini. Kita tidak mahu rakyat berasa hampa dan kecew a apabila aduan-aduan mereka tidak dilayan. Akhirnya nanti, akibat daripada kegagalan pegawai-pegawai terbabait menyelesaikan masalah rakyat, maka rakyat akan mempersoalkan tahap keberkesanan pentadbiran kerajaan.

 GK.com: Bercakap tentang pelantikan Dato' sebagai Ahli Exco Kerajaan Negeri, bagaimana Dato' melihatnya iaitu selepas satu penggal rakyat di DUN Klawang tidak diwakili oleh Ahli Exco Kerajaan Negeri kini mereka bertuah apabila jawatan itu menjadi milik wakil rakyat mereka. Adakah Dato' melihat ini suatu kelebihan untuk rakyat?
DYR:
Dalam konteks kelebihan untuk rakyat, itu saya setuju. Soal pelantikan Ahli Exco Kerajaan Negeri ini sebenarnya merupakan hak mutlak YAB Menteri Besar, Dato' Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan. Dengan pelantikan ini bukan bermaksud DUN Klawang lebih penting berbanding DUN lain pada pandangan YAB Menteri Besar. Tetapi sudah pasti YAB Menteri Besar mempunyai sebab-sebabnya sendiri.
    Bagi saya sendiri yang dilantik ke jawatan ini, saya menganggap ia suatu amanah tambahan yang saya harus pikul selain daripada menjadi wakil rakyat di DUN Klawang. Saya mengucapkan terima kasih kepada YAB Menteri Besar atas kepercayaan yang diberi ini. Saya berjanji akan bersusaha untuk memenuhi tugas-tugas yang diserahkan kepada saya oleh YAB Menteri Besar. Sudah tentu juga, dengan kehadiran saya dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang membuat keputusan-keputusan penting pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan, yang lebih mendapat manfaat tidak langsung daripadanya ialah rakyat di DUN Klawang sendiri. Pada masa yang sama, saya berharap akan dapat menyumbang kepada Negeri Sembilan menerusi potfolio yang diberikan kepada saya iaitu Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri.

GK.com: Berbalik kepada isu di DUN Klawang. Apakah misi dan wawasan Dato' selepas ini?
DYR:
Saya tidak mahu berjanj apa-apa yang luar biasa dan apa yang saya tahu tidak mampu dilakukan. Tetapi yang penting ialah, sebagai wakil rakyat BN, saya akan berusaha untuk melaksanakan setiap manifesto BN yang dilancarkan sewaktu pilihan raya umum lalu. Saya ulangi kembali, syaratnya untuk mencapai kejayaan dalam hal ini ialah biarlah segala perancangan yang dibuat dan mahu dilaksanakan itu mendapat kerjasama dan komitmen jitu daripada setiap pegawai kerajaan di Jelebu dan juga rakyat jelata di DUN Klawang tanpa mengira fahaman politik. Pilihan raya telah berlalu, kini tibalah masanya untuk kita memakai topi atau lencana yang sama iaitu yang membawa identiti sebagai rakyat DUN Klawang, bukannya rakyat dari puak itu atau puak ini. Saya percaya, berdasarkan pengamatan saya, rakyat Jelebu dan DUN Klawang khasnya mengetahui dan menyedari tentang perkara ini. Rakyat DUN Klawang merupakan rakyat yang bersaudara. Kalau tidak bersaudara dari segi ikatan darah keturunan, kita bersaudara sebagai sesama umat Islam. Jika tidak pun, kita adalah rakyat yang mempunyai aspirasi yang sama iaitu mahu melihat kemajuan di DUN Klawang dari segi pembangunan ekonomi, infrastruktur, insaniah dan modal insannya.

GK.com: Secara lebih jelas dan ringkas mungkin boleh menyatakan misi dan wawasan Dato' untuk tempoh terdekat ini?
DYR:
Pertamanya ialah saya mahu melihat dan cuba berusaha menyatupadukan rakyat di DUN Klawang. Itu adalah perkara penting yang saya mahu lihat, kalau boleh biarlah dalam tempoh terdekat ini. Kita sebenarnya tidak mampu untuk membayar pada harga yang mahal untuk memperbetul keadaan kita apabila kita sudah berpecah. Jadi, sekali lagi saya sebut... perpaduan adalah kata kunci untuk setiap apa yang mahu kita lakukan di DUN Klawang. Selepas itu, barulah kita laksanakan perkara-perkara lain. Sudah tentu berbekalkan kuasa perpaduan, kuasa muafakat kita dan juga kuasa silaturahim kita maka soal pembangunan ekonomi dan sebagainya akan lebih mudah dilakukan.

GK.com: Adakah Dato' menekankan soal perpaduan ini kerana wujud bibit perpacahan di kalangan rakyat di DUN Klawang?
DYR:
Saya bukan bermaksud kita berpecah dalam konteks keseluruhan.Tetapi saya sebagai seorang yang sayangkan kawasan kita ini dan sayangkan rakyat serta generasi akan datang kita, maka sebab itulah saya menekankan perkara ini. Memastikan perpaduan tidak boleh dianggap enteng. Lihatlah empayar dan dinasti besar dunia, banyak yang runtuh kerana tiadanya perpaduan di kalangan rakyat. Ketika mereka sebenarnya sedang berpecah disebabkan terlalu fanatik terhadap ideologi masing-masing, mereka mungkin tidak menganggap keadaan itu sebagai sesuatu perpecahan dan masih menganggap itu sebagai perpaduan di kalangan mereka. Sehinggalah apabila kerajaan dan empayar mereka runtuh dan memberi peluang kepada kuasa-kuasa atau anasir luar menjajah atau menguasai mereka, barulah kesedaran tentang perpaduan itu mahu dicetuskan semula. Ketika itu, bukankah lebih sukar untuk memperbetul dan membaikinya untuk kembali kepada kegemilangan lampau, berbanding jika kita sentiasa berwaspada dengan setiap tindak tanduk sebelum itu supaya perpaduan yang tulen tidak tergugat?

 GK.com: Pesanan itu khusus untuk rakyat di DUN Klawang semata-mata atau Dato' juga melihat keperluannya untuk seluruh daerah Jelebu sesuai dengan kedudukan Dato' kini sebagai Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jelebu?
DYR:
Ya, apa yang saya sebut tadi adalah untuk kedua-duanya iaitu DUN Klawang dan juga daerah Jelebu. Kita di daerah Jelebu tidak sanggup melihat perpecahan sebaliknya impian kita ialah melihat rakyat bersatu padu supaya perasaan bersaudara sesama kita dapat dipupuk dan akhirnya setiap rakyat Jelebu merasakan mereka saling memerlukan serta saling diperlukan. Dari situ, apabila perpaduan sudah dicapai, kita tentunya dapat membawa daerah Jelebu ke tahap yang lebih baik. Kita tidak harus biarkan atau memberi ruang kepada mana-mana pihak sama ada pihak dalam atau luar untuk memecahbelahkan kita di Jelebu. Kita kena ada atau kesedaran yang kuat ke arah itu yang matlamatnya hanya satu supaya kita bersatu di bawah satu nama iaitu Rakyat Jelebu Yang Bersatu Padu, Kuat dan Dihormati.
    Kalau kita dengan telah membenarkan mana-mana pihak memulakan sentimen berpuak-puak dan juga percubaan memecahbelahkan umat di Jelebu, saya bimbang kelak kita tidak mampu lagi melakukan apa-apa walaupun di dalam keluarga atau kelompok saudara mara sendiri. Ini kerana, apabila perpecahan telah tercetus atau mungkin sudah tercetus, sukar untuk kita berjaya dalam segenap hal.
    Bagaimanapun, semua ini saya tegaskan bukan bermaksud kita kini telah berpecah dalam konteks keseluruhan rakyat di Jelebu. Tetapi adalah menjadi hasrat saya supaya tahap perpaduan kita ditingkatkat dan diperkuat sehingga ia menjadi mantap dan sukar dipen garuhi mana-mana pihak yang mahu memecahkannya untuk tujuan kepentingan peribadi dan sebagainya.
   Saya fikir dengan kedudukan saya sebagai Ahli Exco Kerajaan Negeri, saya mampu membantu rakan-rakan dan saudara mara kita di tiga lagi DUN iaitu Pertang, Chennah dan Lui. Perkara menyatupadukan rakyat ini sangat mustahak. Sesiapa pun saya fikir tidak akan menolak kebenaran bahawa tanpa perpaduan yang utuh, kita tidak mampu ke mana. Sebenarnya, ketika menjadi Ahli Parlimen Jelebu dari 1995 hingga 1999 saya telah merintis usaha menyatupadukan rakyat Jelebu. Ketika itu, saya sangat gembira kerana ketika sebahagian rakyat Jelebu mempunyai fahaman politik yang berbeza namun kita dapat hidup dalam keadaan yang bersatu jiwa dan raga serta komitmen untuk memajukan daerah kita. Kini, saya mahu meneruskan misi yang sama.

GK.com: Apakah strategi Dato' dalam memastikan soal memantapkan perpaduan dan menghalang sebarang usaha memecahkan perpaduan ini supaya kesedaran yang sama turut dikongsi oleh seluruh penduduk di DUN Klawang mahupun di Jelebu?
DYR:
Saya fikir anjakan paradigma perlu dilakukan dalam soal mentaliti dan halangan minda atau mental block yang ada pada segelintir orang di Jelebu dan DUN Klawang. Mungkin jumlahnya tidak ramai tetapi mereka yang sedikit inilah yang perlu diberi kesedaran supaya tidak terus berusaha mencari jalan yang boleh menggugat perpaduan rakyat Jelebu. Setiap orang kena kena ingat bahawa perpaduan tidak diukur sekadar di dalam majlis kenduri-kendara atau ketika sama-sama berjemaah di masjid malah lebih luas dari itu. Ini termasuk kesediaan rakyat untuk bersatu padu dalam gerakan politik yang sihat dan tidak sebagai ekstremis; bersatu setiap kali diadakan gotong-royong; bersatu ketika kita diminta menjayakan program-program; bersatu untuk menghidupkan aktiviti setempat; bersatu memajukan sekolah anak-anak; bersatu membanteras gejala tidak sihat yang merosakkan komuniti seperti ancaman najis dadah dan maksiat jika ada; bersatu menjayakan projek yang dirancang bersama; bersatu memantapkan ekonomi penduduk; bersatu menjaga imej daerah kita; bersatu dalam menaikkan maruah kita pada pandangan orang luar; dan lebih mustahak kita bersatu menghalang mana-mana pihak daripada merosakkan keluarga, komuniti dan daerah kita.

GK.com: Adakah Dato' fikir rakyat di DUN Klawang dan daerah Jelebu akan menyahut seruan Dato' ini?
DYR:
Saya yakin dan pasti. Rakyat Jelebu adalah rakyat yang dikenali sebagai rakyat yang sayangkan perpaduan. Mereka tidak suka berpecah. Anda boleh lihat betapa ghairah dan gembiranya kita apabila bertemu orang Jelebu ketika berada di luar daerah ini walaupun mungkin orang itu tidak pernah kita kenali sebelumnya. Kita sama-sama mempunyai perasaan sayang terhadap daerah kita. Orang Jelebu yang kita kenali boleh duduk semeja dan bersahabat walaupun mempunyai pandangan dan ideologi yang berbeza.

 GK.com: Tentang pembangunan fizikal yakni ekonomi dan infrastruktur, apakah yang sedang dirancang oleh Dato' khususnya untuk DUN Klawang?
DYR:
Melalui Jawatankuasa Pembangunan Daerah dengan kerjasama semua Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK), kita sedang menyusun atur projek-projek untuk kemakmuran dan keselesaan rakyat. Saya tidak boleh perincikan di sini kerana semuanya sedang dirangka dan dirancang semata-mata untuk kepentingan rakyat di DUN Klawang. Ini termasuklah hasrat kita mahu melihat tanah-tanah terbiar dimajukan, kampung-kampung mempunyai kemudahan asas yang mencukupi, kemudahan pendidikan yang lengkap, rancangan meramaikan jumlah usahawan tani dan usahawan muda, mengatasi masalah-masalah berkaitan tanah dan hak milik dan beberapa perkara lagi. Bagaimanapun, seperti saya nyatakan di awal perbualan tadi, semua rancangan ini kejayaannya banyak bergantung kepada kesediaan rakyat sendiri untuk memberi kerjasama dan sokongan di samping dedikasi daripada golongan para pegawai kerajaan. Saya optimis bahawa setiap apa yang dirancang demi kebaikan rakyat di DUN Klawang akan mendapat restu daripada YAB Menteri Besar sesuai dengan wawasan dan amalan pentadbiran beliau yang mengutamakan kepentingan rakyat.

GK.com: Sepanjang tempoh pelaksanaan semua perancangan itu, apakah yang Dato' jangkakan tentang halangan-halangan yang bakal dihadapi?
DYR:
Saya sebenarnya tidak begitu gemar menganggap halangan sebagai halangan tetapi menyifatkannya sebagai cabaran. Jadi, jika kita melihat ia sebagai cabara maka di dalamnya terkandung intrepretasi positif dan sekali gus memberi motivasi untuk kita melaksanakan apa saja perancangan. Jika kita lihat ia sebagai halangan, sudah pasti yang terdampar di depan kita ialah kesukaran mengatasi halangan kerana kita tiada motivasi untuk mengatasinya. Tentang cabaran-cabaran ini saya fikir bagi DUN Klawang tiada banyak yang timbul. Ini kerana, saya begitu yakin para pegawai kerajaan kita sebagai ejen pelaksana projek kerajaan ternyata begitu dedikasi berkhidmat kepada pelanggan mereka iaitu rakyat jelata. Pada masa yang sama, rakyat juga tidak pernah mencetuskan masalah kepada setiap projek yang hendak dilaksanakan oleh Kerajaan BN di bawah pimpinan YAB Dato' Seri Utama Mohamad Hasan. Mungkin ada satu dua cabaran seperti birokrasi dan hambatan masa atau pun boleh jadi juga soal peruntukan kewangan. Namun, saya yakin semua itu boleh diatasi dengan cara yang terbaik dengan matlamat mahu melihat setiap perancangan boleh dilaksanakan supaya rakyat menikmati kemakmuran.

GK.com: Akhir sekali, apakah harapan dan pesanan khusus Dato' kepada rakyat di DUN Klawang khasnya dan juga daerah Jelebu amnya?
DYR: Sekali lagi saya bersyukur kepada Allah s.w.t kerana DUN Klawang dan daerah Jelebu masih dirahmati oleh-Nya dengan keamanan dan kemakmuran. Langkah kita kini ialah memantapkan keamanan, perpaduan dan kemakmuran itu. Sehubungan itu, adalah menjadi matlamat dan hasrat saya untuk melihat DUN Klawang menjadi kawasan kebanggaan kepada setiap penduduknya. Ini adalah kawasan kita, sama-samalah kita bangunkannya. Berilah input-input dan idea kepada pihak kerajaan supaya setiap projek atau program yang dilaksanakan adalah sesuatu yang lahir daripada kehendak kita sendiri. Semangat sedia bermusyawah dan berkongsi pandangan inilah sebenarnya yang boleh membawa manfaat dan keuntungan kepada daerah dan rakyat. Kuncinya ialah perpaduan. Saya juga memohon kepada semua supaya memberi peluang dan ruang waktu kepada saya untuk sama-sama menyumbang kepada setiap misi kita di Jelebu. Amanah yang anda beri kepada saya, insya-Allah akan saya tunaikan. Sama-samalah kita bangunkan DUN Klawang dan daerah Jelebu.

GK.com: Terima kasih Dato' atas kesudian meluangkan masa untuk Gerbang Klawang.com dan memberikan temu bual ini yang sarat dengan amanat untuk rakyat di DUN Klawang dan daerah Jelebu.
DYR:
Sama-sama. Terima kasih juga kepada Gerbang Klawang.com yang memberi kesempatan kepada saya menyampaikan sedikit pesanan kepada rakyat di DUN Klawang khususnya dan daerah Jelebu amnya. Selamat bersua kembali.

 
  ©